"Disorong Sakit, Ditarik Pun Sakit"
Oleh: Are-Wish Awis

  
  "TANGKAPAN" dilakukan bermakna 'membuka pintu' untuk kes ini dibincangkan ke peringkat perundangan. Tindakan "menangkap" kumpulan ini (SSKM) bererti pemimpin Umno/BN Malaya akan masuk "perangkap". Di mana, sebenarnya bagi Malaya, seboleh-bolehnya jangan sampai ke tahap ini, adalah lebih baik 'berdiam' saja. Namun apa yang mereka sangkakan “kumpulan kecil” ini tidak sampai ke mana, ternyata penilaian mereka salah. Hal yang menjadi kemarahan pemimpin Malaya ini adalah kerana tindakan kumpulan ini telah melakukan ‘overlap’ perundangan Malaysia sendiri.

  Bagaimana mungkin pihak SSKM menggunakan sistem kehakiman dan perundangan Malaysia yang dicemari dengan kuasa politik dan mencabul hak asasi rakyat? Pihak SSKM memilih untuk bawa kes ini ke Mahkamah yang lebih adil agar pelaksanaannya lebih efektif. SSKM sudah bergerak sejak tahun 2011, namun pihak kerajaan yang dipimpin oleh Umno/BN hanya bertindak menutup sebelah mata dan tersengih mengejek. Mereka berfikir bahawa rakyat Sabah dan Sarawak yang bersuara ini adalah rakyat yang “masih tinggal di atas pokok dengan memakai cawat”, (anggapan ramai orang Malaya terhadap orang-orang Borneo). Tetapi tanpa disangka, kumpulan yang dianggap hanyalah ‘nyamuk kecil’ sekadar mengganggu tidur dengan bunyian di luar kelambu, rupanya bunyian kumpulan 'nyamuk' tersebut boleh dan telah menghentikan dengkuran lena tidur mereka.

  Jika kes di facebook tersiar  gambar “Seorang Makan Babi Dengan Ucapan Selamat Berpuasa”, pada jam 8.00 pagi, maka, tidak lebih dari dua atau tiga jam, orang itu sudah ditangkap! dan memang patut pun ditangkap kerana bertindak biadab dengan menghina dan tidak menghormati agama lain. Tetapi, kes seperti Perkasa, Ibrahim Ali, Ridhuan Tee, sampai hari ini tiada suatu tindakan pun diambil, yang mana sangat jelas sebagai ‘penjenayah perpaduan rakyat’. Kita tidak tahu, apakah sebenarnya kedudukan Ibrahim Ali dan Ridhuan Tee dalam tabir lakonan Umno, dan berapa jumlah habuan yang mereka terima untuk melakonkan aksi-aksi ngeri dalam siri-siri lakonan mereka selama ini.

  Senario yang berlaku di Sabah dan Sarawak tidak pernah berlaku selama ini. Jika di era tahun 60an dan 90an pernah tercetus di Sabah fenomena seumpama ini, di mana beberapa pemimpin politik ‘membawa rakyat’ untuk Keluar dari gabungan Malaysia, dengan harapan rakyat akan menerimanya. Namun tidak sempatpun meresapi seluruh rakyat, tindakan pemimpin politik itu dengan mudah dan penuh bergaya digagalkan oleh pemimpin Malaya yang berlagak cerdik melalui berbagai cara, tanpa mengira halal dan haram.

  Setelah kedua era itu berlalu, pada tahun 2011 hingga 2014, perkara ini berulang lagi di Sabah, malah bersama-sama dengan Sarawak. Seolah-olah “baton” telah sampai kepada pelari seterusnya untuk menamatkan larian tersebut. Situasi kali ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku sebelum ini. Dahulunya, pemimpin politik yang cuba untuk membawa rakyat kepada tujuan mereka, namun gagal. Pada kali ini, RAKYAT bangkit sendiri, kerana kesedaran dan disedarkan oleh sesama rakyat biasa tanpa berlatarbelakangkan politik. Rakyat ini bangkit dengan suatu gelombang kesedaran yang sangat dasyhat biasnya. Malah, rakyat Sabah dan Sarawak lebih diperkuatkan dengan nasihat dan dorongan oleh satu-satunya pemimpin politik yang dianggap ‘sampah’ oleh lawannya. Pemimpin politik ini sudah berjuang sejak kemunculannya di bidang politik dan tanpa jemu-jemu menyebut, menulis, menyebarkan hal-hal autonomi dan borneonisasi. Pemimpin politik ini adalah lulusan dari salah satu penjara bertaraf lima bintang di Malaysia.

  Pemimpin Malaya mulai membuka mata setelah 4 tahun pergerakan ini dibiarkan. Mereka mulai cemas, sebab yang BERGERAK ini adalah RAKYAT, dan RAKYAT inilah "PENGUNDI" yang berkuasa menentukan pemerintah yang tepat pada masa akan datang. Mereka menemui jalan buntu, kertakan gigi kedengaran nada ketakutan. Bingung memilih ‘bertindak’ atau terus ‘berdiam diri’, namun sekarang sudah tahun 2014, esok-esok 2015 isyarat lampu kuning sudah mewarnai hal ini, dan jangan sampai kuning bertukar merah.

 Setelah berfikir panjang, berbincang melalui ‘sms’ peribadi ke peribadi, bertemu di luar negara dan dalam negara, menyediakan kalkulator untuk perbincangan ‘untung rugi’, maka satu keputusan telah diambil. Manipulasikan kuasa yang ada selagi berkuasa! UGUT!... UGUT!... UGUT!... “Penghasut Harus Ditangkap!” slogan tajam menakutkan rakyat.

  Permainan ‘psikologi’ bermula, siapa berani dan siapa takut. Maka itulah penilaiannya dalam perkara yang dibuat secara terdesak. Dalam hal ini istilah ‘fikir panjang’ diketepikan, tetapi ungkapan “jangan mencabar ketuanan kami”, inilah senjata yang ampuh bagi mereka di Malaysia, sebagai tanah dan lingkup kekuasaan mereka. Harus bertindak! Tanpa mengira dalam keadaan waras atau tidak. Sebab berdiam diri pun mengundang masalah, bertindak pun menjadi masalah besar. Hal ini samalah dengan pepatah yang berbunyi “disorong sakit, ditarik pun sakit”.

  Seorang aktivis sejarah dan nasionalis Negara Sabah, Doris Jones (SSKM) dalam blognya berkata;

“Informasi sejarah berfakta dan dokumen yang direkodkan didedahkan kepada semua orang khususnya kepada ahli-ahli dalam kumpulan SSKM. Kepincangan dan salahlaku pemimpin-pemimpin Negara Sabah dan Negara Sarawak khususnya malaya didedahkan untuk Generasi Muda Borneo melihat, memahami dan membuat renungan sama ada mahu mengulangi sejarah yang salah atau memperbetulkan keadaan lalu dengan membuat satu Kebangkitan Nasionalisme secara menyeluruh di kedua-dua Negara ini iaitu di Negara Sabah dan Negara Sarawak yang tidak bermotifkan politik. Dalam erti kata yang lain, ia adalah Kebangkitan Semangat untuk berjuang mengembalikan Hak-hak mutlak yang selama ini telah dikhianati, dilanggari oleh pemimpin-pemimpin Malaya khususnya dan kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) amnya.”

“Kami, SSKM berjuang berlandaskan kepada Kebenaran Fakta serta memliki dokumen-dokumen yang sah untuk menyokong perjuangan ini. Kami juga berjuang berlandaskan kepada undang-undang tanpa menimbulkan sebarang ancaman fizikal tetapi adalah dalam bentuk kesedaran sejati melalui pendedahan kebenaran sejarah. Dan jikalau tindakan yang dilakukan oleh pihak kami ini salah dimata pihak kerajaan persekutuan, itu adalah masalah anda dan bukan kami.

Kami juga percaya bahawa ancaman ugutan yang kini kian dimainkan oleh pihak media kerajaan sebenarnya sedang memperkukuhkan lagi kekuatan rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak untuk berdepan secara bersemuka di Makhamah dan berhujah berlandaskan kepada fakta yang sahih agar suara jati Bangsa Negara Sabah dan Negara Sarawak didengari secara rasmi sama ada dalam persekutuan malaysia mahupun diperingkat antarabangsa. Hakikatnya, seluruh kerajaan di dunia kini sedang memerhatikan kerajaan malaysia tentang perkara ketidakadilan yang telah dilakukan terhadap
Kerajaan dan Rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak.”