SIAPA KATA SSKM BUKAN bercakap mengenai "Politik"??
Bila kita bercakap dan melibatkan interaksi antara pemerintah dan masyarakat dalam rangka proses pembuatan dan pelaksanaan keputusan yang mengikat tentang kebaikan bersama masyarakat yang tinggal dalam suatu wilayah tertentu, itu adalah bercakap 'pasal politik'.
Politik merupakan salah satu sarana interaksi atau komunikasi antara pemerintah dengan masyarakat sehingga apapun program yang akan dilaksanakan oleh pemerintah sesuai dengan keinginan-keinginan masyarakat di mana tujuan yang dicita-citakan dapat dicapai dengan baik.
"Politik ialah salah satu perjuangan untuk memperoleh kekuasaan atau sebagai teknik menjalankan kekuasaan-kekuasaan” (F.Isjwara, (1995:42). Ini memberikan maksud bahawa politik merupakan sebuah sarana memperjuangankan kekuasaan serta mempertahankan kekuasaan itu demi tujuan yang ingin dicapai.
"Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain." (Wikipedia)
Kembali kepada tujuan, di mana kita (SSKM) menafikan bahawa kita "bukan cakap mengenai hal politik". Jika bertahan dengan ideologi ini, maka golongan cerdik pandai akan senyum sinis kepada kita dan mereka melabelkan kita kepada suatu tahap tertentu dan berkait rapat dengan daya fikir, perkataan dan tindakan kita. Tanggapan tersebut sudah pastinya sesuatu hal yang negatif bagi mereka.
Kenapa Sabah & Sarawak boleh tertipu selama 51 tahun dan tidak pernah bangkit berbanding 4 tahun sebelum ini? Kerana rakyat Borneo mempunyai suatu pola fikir bahawa "Politik ini adalah kotor, jijik dan sumber dosa". Sehingga rakyat Borneo yang mempunyai kerukunan yang tinggi tidak akan mencampuri 'politik' yang dimaksudkan kerana pastinya akan merosak persafahaman antara sesama.
Dengan makna 'politik' yang dibawa sehingga ke hari ini, maka rakyat Borneo banyak ketinggalan dengan hal-hal perubahan, perkembangan dan masalah dalaman negara. Walaupun lahirnya golongan cerdik pandai di kalangan rakyat Borneo, tetapi budaya berfikir itu masih terbawa-bawa dengan pengertian 'politik' yang diwarisi, di mana "politik" adalah suatu yang kotor. Faktor-faktor pengertian ini juga sedikit sebanyak dibuktikan praktiknya di kalangan para politikus Borneo yang dijangkiti budaya politik Malaya, di mana "berpolitik bertujuan menghalalkan segala sesuatu, menindas, penting diri sendiri, memperalatkan rakyat dan sanggup menjual maruah diri". Dengan keadaan yang ada selama berpuluh tahun di kalangan politikus Borneo, maka rakyat fobia dengan hal 'politik' tersebut kerana gambaran dari kehidupan para pemimpin yang ada.
'Politik' sebenarnya suatu yang baik dan sangat bermanfaat kepada semua golongan masyarakat. Jatuh bangunnya sesebuah negara atau kelompok tertentu adalah didasarkan pada suatu pembawaan dan pemahaman politik tersebut.
Apa yang SSKM maksudkan mengenai hal ini, bahawa SSKM wujud bukanlah mewakili, menyokong mana-mana parti tempatan dan tidak mencanangkan ideologi serta agenda politik parti-parti tempatan yang ada, apa lagi parti penjajah. Sebab SSKM memahami kecenderungan masyarakat Borneo mengenai hal politik. SSKM wujud dengan suatu harapan yang tinggi untuk mendidik generasi baru dan masyarakat Borneo untuk kembali kepada makna politik yang sebenarnya.
Bila kita bercakap mengenai politik, pengertian kita adalah "Politik merupakan salah satu sarana interaksi atau komunikasi antara pemerintah dengan masyarakat sehingga apapun program yang akan dilaksanakan oleh pemerintah sesuai dengan keinginan-keinginan masyarakat di mana tujuan yang dicita-citakan dapat dicapai dengan baik." Generasi masa kini, khususnya rakyat Borneo sudah disedarkan, balok di mata pun sudah dileraikan dari pemandangan fantasi pemerintah kepada suatu hal yang nyata dan jujur yang berlaku kepada Borneo.
Generasi muda, bercakap politik bukan semestinya kita akan menyertai sesebuah parti politik tempatan dan mengikut budaya politik yang ada. Tetapi kitalah nadi politik yang benar di abad ini untuk memperbetulkan keadaan, menyatakan apa yang salah dan menegakkan yang benar. Jangan berfikir bahawa jika kita melakukan dan bercakap mengenai politik yang benar, maka kita akan seluruhnya menyelesaikan kemelut secara keseluruhannya. Mungkin kita hanya merintis dan ada generasi seterusnya meneruskan apa yang baik kita telah lakukan. Generasi SSKM bukanlah generasi yang cetek, tetapi terdapat ramai yang mampu berdiri dan berfikir bersama, malah mungkin lebih daripada mereka yang kini bergelar Datuk dan Yang Berhormat, cuma peluang bukan miliknya. Sekali lagi, tegakkan politik yang benar dan baik seturut dengan aspirasi rakyat.
* Dum Spiro Spero / Pergo et Perago
Post a Comment